Your Magic Blog: Pengaruh Emosi Kepada Organ Dalaman

Tuesday, 3 May 2016

Pengaruh Emosi Kepada Organ Dalaman


Seperti yang sudah kita ketahui, kita semua adalah sebuah kesatuan dari gugusan energy di alam semesta ini. Walaupun kita saling berbeza secara zahir, namun dari pandangan energy kita semua adalah sama dan saling terhubung.

Setiap ciptaan adalah bermula dari satu kesedaran, yang semakin membesar atau diberikan perhatian, lalu dimanifestasikan dalam kehidupan kasar kita. Seperti kata para falsafah alkimia dahulu kala.

"As above, so below. As within, so without."

Semua perubahan adalah bermula dari dalam diri kita. Ubahlah yang ada dalam hati mu, nescaya alam akan berubah bersama dengan mu. Ahhh, kefahaman ini terlalu banyak sudah tersebar di dunia maya, akan tetapi apa yang menjadi rahsia, akan tetap rahsia kepada orang yang belum terbuka level kefahaman walau berkali-kali membaca frasa tersebut menggunakan akalnya semata-mata.

Artikel kali ini hanya akan menyebutkan bagaimana secara ringkasnya, emosi memberi pengaruh pada organ dalamannya. Pengentahuan ini juga sudah banyak yang disebarkan dalam dunia maya, dan kali ini saya mengambil peluang untuk turut menuliskannya di sini. 

Mindset, persepsi, dan kefahaman adalah kunci utama tentang bagaimana cara kita melihat dan menjalani kehidupan dalam dunia ini. Apatah lagi jika ia membabitkan kesihatan badan dan fikiran. Dalam tradisi ilmu perubatan kuno tabib Cina, dikatakan bahawa EMOSI memainkan peranan utama dalam menentukan tahap kesihatan organ dalaman seseorang.

Apabila tubuh kita terdedah dengan terlalu lama, atau berulang-ulang secara berterusan dengan perasaan marah, gusar, takut, resah, dan dendam, ia akan terzahir sebagai penyakit di luar badan kita. Bila kita memahami organ mana yang terlibat dalam emosi yang kita alami, sedikit sebanyak kita akan mampu memberikan perhatian dan sedar terhadap perubahan hormon dan penyakit dalam badan.

Seperti yang dikatakan awal tadi, kita manusia adalah makhluk energy, dan pada prinsipnya, "Energy follow thoughts. (Energy mengikut fikiran), dan Emosi pula adalah, "Energy In Motion". (Energy yang sedang bergerak.) Apabila kita mula "SEDAR" bahawa semua benda adalah energy, maka higher self (Kesedaran tertinggi) kita akan mudah membimbing energy-energy ini untuk dikawal atau diubah mnejadi energy yang lebih baik.


Secara alami, badan mempunyai kesedaran dan kuasa sendiri untuk menyembuhkan luka dan meneutralkan toksik dalam badan. Namun sayangnya kita di zaman ini terlalu bergantung sepenuhnya pada ubat-ubat moden yang bermodalkan "Dadah dan racun halal" untuk sembuh. Harap maklum, saya bukanlah ANTI-PANADOL dan tidak melarang orang untuk sembuh melalui hospital. 

Dalam proses kesembuhan dan mendapatkan rawatan, kita semua dikawal sepenuhnya oleh sistem PLACEBO. Ubat hanyalah sebagai saranan untuk sembuh, dan sokongan dari segi hormon dan antibodi dalam badan, tetapi yang MENYEMBUHKAN penyakit kita, adalah DIRI kita sendiri, yang dijana oleh kesedaran super dan berasal dari ROH kita sendiri.

Naah, dalam proses mendapatkan kesihatan, kita terlupa aspek PALING UTAMA dalam penyembuhan. Kita tidak memberikan perhatian kepada  Sang doktor, penyembuh, dan kekuatan yang datangnya dari sisi Eterik yang lebih hampir kepada Tuhan, iaitu roh kita. 

Ahh, tulisan agak melarat, jadi kita terus kepada inti utama. 


TAKUT

Takut, adalah emosi yang paling banyak memenuhi hidup manusia. Tidak kira dia kaya atau miskin, bahagia atau sengsara, semua manusia di zaman moden ini dikawal oleh propaganda ketakutan. Takut adalah naluri manusia dalam mekanisme mempertahankan diri, dan mampu mengubah situasi mental dan tahap stress secara drastik.
Ketakutan, dikatakan dalam tabib perubatan cina mempunyai hubungan terus kepada BUAH PINGGANG dan terus kepada pundi kencing. Ketika emosi yang melibatkan ketakutan aktif, kita biasa mendengar orang terkencing-kencing kerana takut. 
Ketika takut juga, fungsi buah pinggang, iaitu menapis toksin dan kotoran akan terganggu, dan ini akan mengakibatkan "Halusinasi", yang membuatkan seseorang terbayang-bayang, merasa-rasa, dan menyangka-nyangka dirinya terlihat sesuatu di hujung bilik, dikejar hantu dari belakang, dan histeria. 
RISAU
Terlalu berfikir sehingga sakit kepala, sering disalah ertikan sebagai ciri-ciri orang yang kononnya mempunyai tahap intelektual yang tinggi. Tidak dinafikan bahawa ia memang terjadi pada pelajar-pelajar kolej dan universiti, namun faktanya, risau yang melampau sehingga berfikir berlebihan bukanlah tanda bijaksana kerana kecerdasan bukanlah diukur pada tahap kesakitan yang dialami oleh seseorang.
Tetapi mengejutkan sekali, organ yang berkaitan dengan emosi ini bukanlah otak dan kepala, tetapi LIMPA. Limpa bertanggung jawab membersihkan darah dan menguatkan sistem imunisasi dalam badan. Apabila anda terlalu memberikan stimulasi yang berlebihan pada otak dan fikiran, darah akan dipam secara drastik ke kepala.
Darah yang terlalu banyak disana, apalagi jika ia belum dibersihkan oleh limpa, akan mengalami ketidak-seimbangan yang akan melemahkan badan, dan menyesakkan salur darah di bahagian kepala.
CEMAS
Hampir sama seperti kes diatas, tetapi cemas AKA anxiety didatangkan bersama dengan keresahan, menjangka benda yang bukan-bukan, risau yang berlebihan, dan tekanan di bahagian dada sehingga sukar untuk bernafas.
Ini disebabkan emosi ini berkaitan terus dengan PARU-PARU anda. Serangan panik yang timbul, hasil dari tekanan emosi ini, membuatkan saraf yang mengawal fungsi paru-paru terganggu dan mengakibatkan kesukaran untuk bernafas.
Ini mengakibatkan badan kekurangan oksigen, mengecutkan urat sehingga mampu menimbulkan sawan. Tenaga tubuh akan berkurang akibat penat kerana situasi di atas, dan pada sesetengah orang akan menimbulkan ulser di perut dan usus.
MARAH
Marah meliputi berbagai-bagai aspek emosi yang membawa kepada kerosakkan fizikal, baik kepada diri mahupun orang yang dibenci. Dendam, Menyalah-nyalahkan, mengeluarkan makian dan keta-kata sumpahan yang buruk, adalah berkait rapat dengan HATI. 
Dan hati yang dimaksudkan sini bukanlah dalam maksud spiritual (Walaupun ia sebenarnya mempunyai kaitan) tetapi ia hati yang berada berhampiran dengan limpa dan buah pinggang. Ketika kita mengeluarkan perasaan marah, apalagi dalam keadaan yang tidak mampu lagi dikawal, hati akan mengeluarkan zat besi berlebihan dalam darah.
Dalam tradisi tenaga dalam, zat besi yang keluar dalam darah ini boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Kerana besi secara umum adalah konduktor elektrik yang terbaik, maka darah yang "diisikan" dengan tenaga elektrik (Adenosine Triphosphate dari Mitokondrea) dari latihan tenaga dalam akan menghasilkan gelombang elektromagnetik pada seluruh tubuh.
Medan tenaga ini pula, akan mempengaruhi satu sama lain, dan memang diketahui dalam prinsip tenaga dalam, "Sesiapa yang berjaya mengawal emosinya dalam gelanggang, adalah pemenang utama". 
Namun dalam kondisi marah yang mengakibtkan hilangnya daya fikir, atau marah menyimpan dendam, proses ini sama sekali tidak mendatangkan faedah dan hanya sekadar menjadi penyakit bagi dirinya semata-mata.
Kerana hati terpaksa bekerja keras untuk menapis zat-zat berlebihan ini, bersama-sama dengan enzim lain, maka kandungan darah akan menjadi semakin pekat lalu membawa anda kepada penyakit darah tinggi.
SEDIH
Perasaan sedih, kecewa dan putus asa mempengaruhi PERUT. Selalu kita dengar, Orang yang putus cinta akan menghabiskan minggu pertamanya dengan makan berlebihan, atau kehilangan selera sepenuhnya.  Ketika kita merasa sedih, ada sejenis enzim yang akan dikeluarkan bersama-sama asid perut, yang fungsinya hampir sama seperti bisa ular tedung, namun ia dalam kuantiti yang sangat sedikit sehingga tidak membawa maut secara mengejut.

Jika seseorang menghabiskan masa dalam kesedihan, maka ia akan membawa mudarat sehingga menimbulkan gastric, muntah, sembelit, ulser dan pengaktifan sel-sel kanser dalam badan.  Perasaan sedih yang berterusan akan melemahkan badan  dan mematikan pertahanan aura anda.
Hormon serotonin (Yang membangkitkan perasaan bahagia dan gembira)  yang dihasilkan di perut, tidak dapat diserap dan hancur oleh asid perut yang keluar tanpa kawalan.  Cara terbaik dalam menguruskan emosi sedih, adalah menerima situasi itu dengan ikhlas. Bersabar dan meyakini bahawa akan datang suatu yang lebih baik sebagai pengganti atau pembersih dosa kita yang lalu.

GEMBIRA

Gembira berkait rapat dengan JANTUNG. Ia adalah satu emosi yang menjalar kepada seluruh tubuh dan sangat unik dan berbeza-beza persepsinya bagi setiap orang. Kegembiraan adalah emosi utama bagi mengaktifkan seluruh hormon yang menjaga kesihatan tubuh badan.
Jantung adalah "otak kedua" dalam badan kita, yang memastikan kita hidup dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, ketika otak kita mati, jantung masih lagi mampu meneruskan sistem kehidupan dalam badan selagi ia tidak kehabisan sumber tenaga.
Usahakan untuk selalu merehatkan jantung anda, dengan melakukan meditasi atau tafakkur. Aktiviti riadah dan ibadah yang mampu menenangkan fikiran adalah sangat-sangat disarankan. 
Bilakah pada hari ini anda meluangkan masa untuk mengosongkan fikiran? Jujur saya tanyakan dan jujur anda jawap, sudahkah hari ini anda memberikan peluang pada diri untuk mengosongkan fikiran, tanpa memikirkan APA-APA langsung, selama 10 minit sahaja?
Masyarakat kita hari ini sudah didoktrinkan dengan kemajuan yang pesat, dan memerlukan kepantasan dan kecepatan dalam segala hal, sehinggakan hidup kita sehari-hari dipenuhi dengan segala macam sifat terburu-buru.
Tidak salah mengejar kekayaan dengan cepat, pantas dan tergesa-gesa. Akan tetapi berbaloikah semua itu jika kekayaan yang anda kumpul hari ini, hanya sekadar untuk dihabiskan bagi merawat masa tua anda semata-mata?
Anda harus fleksibel, dan luangkan sedikit masa untuk melihat satu dunia dari sudut spiritual bagi menjaga diri dan kesihatan anda supaya tidak menjadi hamba konsumerisme semata-mata.
Kesihatan tidak boleh dibeli dengan wang. Anda hanya mampu membeli ubat, tapi tidak kondisi sihat itu sendiri. Sebagai bonus, saya kongsikan sedikit cara mudah untuk meditasi / tafakkur di bawah. Silakan klik pada pautan yang disertakan.
He/she who can control their emotion, is the king of their own life. Jihad yang paling besar itu adalah melawan hawa nafsu. Maka kawallah diri anda dari menyimpan dan menyebarkan perasaan negatif ini, lalu melakukan kerosakkan pada dunia dan isinya.
Sekian tulisan kali ini, semoga anda memahami bagaimana emosi mempengaruhi tubuh anda untuk mendapatkan hidup yang bahagia dan berkualiti. Tidak salah untuk marah dan mengekspresikan emosi-emosi ini dalam kehidupan anda, namun pastikan ia dilakukan secara bijak dan penuh pertimbangan,
Tunjukkanlah artikel ini kepada orang-orang kesayangan anda, supaya mereka juga sama-sama boleh mendapatkan manfaatnya yang tidak seberapa. Sebarang salah silap, dan kekurangan pada artikel ini adalah dari saya, yang masih kurang ilmu dan pengetahuan.
Sekian salam sayang dari saya untuk anda.
~ From QI with Love.





1 comment:

  1. Tq master.. Membantu motivasi kesedaran diri. haha ;-)

    - Dhia

    ReplyDelete

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...