Your Magic Blog: Rahsia Lailatul Qadar

Tuesday, 7 August 2012

Rahsia Lailatul Qadar


Salam sejahtera, salam ramadan mubarak untuk semua saudara pembaca budiman :)


Melailui artikel kali ini, saya ingin berkongsi kepada anda berkenaan rahsia lailatul qadar. Apa yang saya akan sampaikan ini sangatlah berbeza daripada apa yang pernah anda baca dari kitab-kitab atau dengar dari mana-mana sumber kerana ini adalah kefahaman yang saya perolehi hasil perjalanan spiritual saya. Jadi harapnya anda membuka fikiran seluasnya agar ilmu yang saya sampaikan boleh harmoni dengan anda.

Kita semua pasti sudah tahu keistimewaan Lailtul Qadar. Beribadat pada malam itu kelebihannya umpama beribadat selama 1000 bulan iaitu lebih kurang selama 83 tahun 3 bulan. Sekalipun kita mampu hidup selama itu, namun mungkin hanya 20-30% masa daripada umur kita itu yang mampu kita isi dengan ibadah. Itupun mungkin hanya 5% ibadah kita yang berkualiti. Sedangkan dengan 'keramat' Lailatul Qadar mampu memberikan kita satu malam yang menyamai kualiti ibadat selama 83 tahun 3 bulan. Dengan keitimewaan ini, sekalipun umur kita cuma 40 tahun, namun kualiti ibadah kita jauh melebihi usia kehidupan kita. Bayangkan jika kita mampu 'menemui' Lailatul Qadar pada setiap ramadan. Wah, kita boleh jadi 'kaya ibadah' yang sesungguhnya.

Setelah kita sedar kelebihan malam tersebut, kita pasti termotivasi untuk mendapatkannya. Lalu kita pun mencari petunjuk berkenaan bilakah waktu yang tepat tentang malam Lailatul Qadar. Hadis Nabi SAW memberikan petunjuk yang pasti bahawa malam tersebut ada pada malam-malam ganjil di 10 malam terakhir ramadan. Bermakna malam tersebut boleh jadi berlaku pada malam ke 21, 23, 25, an 27 ramadan. Inilah 'rumus' nya.

Ini pula salah satu lagi rumus yang dikeluarkan oleh sesetengah ulama. Rumus ini menentukan waktu Lailatul Qadar mengikut hari permulaan puasa. Jika permulaan puasa pada hari :

  • Ahad atau Rabu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
  • Jumaat atau Selasa Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-27.
  • Khamis = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-25 Ramadan.
  • Sabtu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-23.
  • Isnin = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-21.


Lalu adakah jika kita fokus melakukan ibadat penuh pada malam-malam tersebut maka kita akan ada rezeki untuk menemui malam keramat itu? Dulu di awal pencarian spiritual, saya berpegang pada rumus ini. Pada malam-malam tersebut saya isi dengan ibadah penuh satu malam. Adakah saya 'bertemu' dengan malam itu? Saya juga tidak tahu, kerana malam-malam tersebut terasa biasa-biasa saja. Tiada langsung perkara luar biasa yang saya alami. Sedangkan menurut cerita, orang-orang yang menemui malam tersebut mengalami perkara-perkara luar biasa seperti melihat pohon-pohon rebah sujud, ada yang mendakwa melihat malaikat, dan bermacam lagi peristiwa ganjil.

Seharusnya jika kita mengikut rumus 'beribadat pada malam-malam ganjil di 10 malam terakhir ramadan' maka kita pasti akan dapat menemui Lailatul Qadar. Anda setuju? Namun berapa ramai kalangan kita yang kecewa kerana ternyata malam-malam tersebut yang kita isi dengan ibadat full time tidak memberikan kita sesuatu yang luar biasa yang boleh memberikan kita rasa 'WOW!!!"... Di mana silapnya?

Ternyata Lailatul Qadar adalah satu 'malam peribadi'. Bermakna di sini, setiap orang 'menemui' Lailatul Qadar secara berbeza, bukan serentak. Pada bulan ramadan yang sama, ada yang 'menemui' Lailatul Qadar pada malam ke 21, ada pula yang 'menemui' malam tersebut pada 23, atau 25 atau 27. Lailatul Qadar sesungguhnya adalah satu anugerah, atau ganjaran atas usaha gigih anda menjalankan ibadah ramadan dengan siang berpuasa, malamnya pula berqiamullail.

Ok, this is the best part...Get ready. Lailatul Qadar adalah peristiwa di mana anda mengalami 'kebangkitan kesedaran ruh' sebagai kesan daripada ibadah anda berpuasa dan qiamullail melebihi 21 hari. Ibadah puasa adalah satu usaha manusia untuk memisahkan kesedarannya daripada ikatan dunia fizikal. Dengan berpuasa kita menahan lapar dan dahaga dan mengekang semua panca indera daripada kebiasaannya. Ini akan membuat ruh kita terlatih secara bertahap untuk 'lepas' dari ikatan material dan semakin naik ke alam ketuhanan. Kemuncaknya terjadi selepas minima 21 hari anda melatih diri bermujahadah melawan hawa nafsu di bulan ramadan. Ketika ruh anda bebas lepas daripada ikatan material, kesedaran anda jadi bebas terbang di alam malakut dan anda mengalami pengalaman peribadi yang ajaib dan pelik. Sebab itu orang-orang yang mendakwa 'menemui' Lailatul Qadar mengatakan bahawa mereka mengalami peristiwa-peristiwa yang ajaib dan aneh.

Mengapa harus lebih 21 hari? Ok begini, 21 hari adalah masa minima  yang menjadi cycle atau kitaran masa  yang diperlukan untuk tubuh dan jiwa manusia terbiasa dan lengkap beradaptasi dengan satu keadaan yang baru. Jika kita membiasakan diri kita dengan satu amalam atau keadaan selama 21 hari, maka tubuh dan jiwa kita akan jadi serasi dengan amalan atau keadaan tersebut. Tubuh kita fitrahnya ingin makan, minum, seks dan tidur. Fikiran dan emosi kita pula fitrahnya ingin selalu liar dan heboh. Fitrah ini semua mengikat kesedaran ruh kita agar kekal pada level material-duniawi. Oleh kerana itu, apabila kita menghayati ramadan dengan sungguh-sungguh, maka kita melatih tubuh dan jiwa kita untuk 'lari' daripada fitrahnya. Itu akan membebaskan ruh kita daripada terikat dengan alam kebendaan. Perkara ini dibiasakan selama minima 21 hari sehinggalah ruh ini benar-benar bebas dan terjadilah transformasi kesedaran. 

Jika anda biasa dengan sistem ilmu-ilmu energy, atau ilmu-ilmu hikmah anda akan dapati bahawa ada latihan wajib selama 21 hari. Di sini rahsianya. 21 hari adalah tempoh yang perlu anda jalani untuk membiasakan diri dengan amalan atau keadaan baru. Sebab itu petunjuk yang Nabi SAW berikan bahawa Lailatul Qadar terjadi pada malam-malam gajil di 10 malam akhir ramadan adalah sesungguhnya menyimpan rahsia yang dalam. Nabi SAW tidak memberikan 1 waktu yang tepat kerana kitalah yang menentukan bila kita akan mengalami Lailatul Qadar, atau malam di mana terjadinya kebangkitan kesedaran ruh kita melalui amalan puasa dan qiamullail kita. Kitalah yang menentukan adakah Lailatul Qadar kita perolehi pada malam ke 21, 23, 25 atau 27... Kita menentukannya melalui kesungguhan kita menghayati secara penuh ibadah puasa dan qiamullail.

Jika anda hanya fokus menghidupkan ibadah pada malam-malam akhir ramadan, saya yakin anda pasti tidak akan mengalami Lailatul Qadar. Anda tidak cukup syaratnya. Jadi jangan kecewa dan salahkan sesiapa. Jika anda mengalami Lailatul Qadar, atau bahasa lainnya, jika anda mengalami kebangkitan kesedaran ruh, maka hidup anda akan berubah dalam semua aspek. Amalan-amalan anda disokong oleh kefahaman yang mendalam. Inilah yang membuat amalan anda begitu bernilai dan berkualiti sehingga menyamai 1000 bulan. Benar, kefahaman atau makrifah lah yang menentukan nilai ibadah anda. Sebuah solat yang anda dirikan dengan makrifah yang sempurna, kualitinya menyamai solat yang anda dirikan selama 1000 bulan tanpa kefahaman atau makrifah yang bermakna. Sebab itu ahli makrifah yang tidur lebih ditakuti oleh abid (ahli ibadah tanpa ilmu) yang sedang solat. Ini sekadar tamsilan untuk membezakan amalan yang disokong oleh kefahaman yang dalam berbaning amalan yang 'asal buat'.

Lalu bagaimana untuk mengalami Lailatul Qadar? Bagaimanakah caranya agar usaha ibadah anda selama ramadan diganjari dengan 'kebangkitan kesedaran ruh'? Ianya bermula dari 1 ramadan lagi. Anda harus memiliki niat yang kuat bahawa ramadan ini akan jadi satu medan perjuangan untuk meningkatkan maqam rohani anda. Anda harus melawan benar kehendak fitrah tubuh dan jiwa anda. Puasakan perut dari makan dan minum, puaskan mata dari melihat benda-benda yang menyenangkan nafsu, puasakan lidah daripada banyak cakap kecuali yang perlu dan penuhkan dengan sesuatu yang berunsurkan zikrullah, puasakan telinga daripada mendengar selain sesuatu yang berunsurkan zikrullah, puasakan tangan dari berbuat nakal, begitu juga kaki anda. Lalu puasakan fikiran anda daripada memikirkan benda-benda duniawi yang melalaikan anda dari memikirkan kesempurnaan Allah, dan puasakan hati anda dari sesuatu selain Allah. Jadikan benar-benar zahir batin anda Lillahitaala. InsyaAllah dalam tempoh minima 21 hari anda akan terbiasa dengan keadaan baru ini dan akan diganjari dengan hadiah Lailatul Qadar. Anda anda akan mengalami pengalaman yang menakjubkan. Anda akan mengalami transformasi diri zahir dan batin.

Memang payah dan berat melatih diri. Namun itulah harga sebuah peningkatan maqam rohani. Perjuangan yang kita lakukan menunjukkan nilai yang akan kita perolehi. Semakin berat sebuah perjuangan maka semakin tinggi nilai yang kita akan dapat.

Sampai di sini dulu tulisan saya kali ini. Ini merupakan sebuah kefahaman peribadi yang saya perolehi daripada perjalan spiritual secara peribadi. Saya share kepada para pembaca untuk 'meluruskan' kefahaman kita bersama agar lebih mudah kita meraih Lailatul Qadar yang mana pengalaman saya pertama kali mengalami malam keramat ini adalah pada ramadan 2001. Semoga kita mampu meraihnya pada bulan ramadan 2012 ini lalu mengalami transformasi diri zahir dan batin untuk menjadi manusia yang lebih baik dalam semua aspek.

Sekian, salam kasih dan sayang dari lubuk hati yang terdalam. Semoga anda dan semua penghuni alam sentiasa sejahtera dan berbahagia dalam liputan kasih ilahi :)




6 comments:

  1. Assalaam Sifu, jazakallah for the above - it hits... Hope it's not too late - Semoga Allah berikan peluang for next Ramadhan.

    Solacenme

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah.. terima kasih atas perkongsian ini, akan dijadikan sebagai panduan pada Ramadhan yang akan datang, insyaAllah.. :)

    ReplyDelete
  4. Allah hu rabbi. Bacaan saya harini 16 Ramadan 1441H / 2020M. Terima kasih Master kerana bantu saya faham dan tahu secara peribadi.

    Allah merahmati Master sekeluarga selalu, dan bahagia.

    ReplyDelete
  5. Bagaimana kami kaum hawa...sbb ada cuti 7 hari yg tak boleh dielakkan utk berqiamullail, beesolat, tahajjud, baca al-quran...tak cukup la 21 hari berpuasa straight sbb ada yg baru masuk 2 minggu puasa dah kena cuti...😁

    ReplyDelete
  6. terima kasih banyak2 atas pencerahan ini.syukur alhamdulillah

    ReplyDelete

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...